Arjuna Hati (Part 1)
NORZAILINA NORDIN: ARJUNA HATI
"Din ikut Pak Ngah pegi bandar ye esok?" Ibu memberitahu. "Tapi jalan baik-baik, berhati-hati." Tambahnya. Esoknya, Din ke bandar menemani Pak Ngah dan anaknya. Mengikut Pak Ngah, Din akan menggantikan tempatnya biler Pak Ngah dah tak larat nak ke bandar lagi. Din tahu Pak Ngah kadang-kadang ke bandar, untuk menjual lembunya di sana. Setelah sampai di bandar, Din yang dikhuatiri hilang dalam kumpulan orang ramai di pasar sengaja ditinggalkan sebentar di luar sebuah kedai runcit, yang letaknya tidak jauh dari pasar tersebut. Din menurut sahaja perintah Pak Ngah. Dari situ, dia dapat lihat ramai hamba abdi memikul barang yang sangat berat. Tiba-tiba, Din terdengar bunyi pekikan yang sangat kuat, tidak lama selepas itu, orang ramai lari berkeliaran. Din terkesima, dia merasakan tangannya ditarik oleh seseorang. Orang yang di pertengahan umur itu menceritakan orang di dalam kedai tadi bertikam-tikaman. Setelah penat berlari, orang itu menyatakan yang dia menarik Din kerana bimbang Din akan menjadi mangsa seterusnya.
Setelah itu, orang itu berlalu. Din tercengang-cengang di situ, tidak tahu ke mana arah tujuan. Dia tidak dapat mengingat kembali jalan untuk pulang ke tempat dia berdiri tadi. Tiba-tiba, Din diganggu oleh sekumpulan konco jahat yang menyentak Din dengan ancaman untuk menjual Din sebagai hamba abdi. Din lari sekuat mungkin, Din tak nak jadi hamba, Pak Ngah pernah memberitahu hamba abdi sangat kejam diperlakukan. Mereka dikerah membuat kerja-kerja berat dan kadang-kadang langsung tidak diberi makan.
"We found this boy in the kitchen." Din dihadapkan kepada kapten kapal tersebut. Kapten Guz yang pelat bahasa melayunya, menerangkan bahawa Din kini berada di dalam sebuah kapal yang dalam perjalanan ke Southampton. Bila diminta untuk berpatah balik, Kapten tidak dapat menunaikan permintaan Din. Katanya, kapal terpaksa meneruskan perjalanan ke England, barang2 yang dibawa perlu sampai tepat pada masanya. Lalu, Din menghabiskan masa di dalam kapal tersebut, mempelajari bahasa Inggeris dan cara untuk mengemudi kapal. Din di bawah jagaan kapten tersebut yang baik hati. Malah, Din tidur di dalam bilik yang sama dengan kapten.
Setibanya di Southampton, kesemua anak kapal keluar bersuka-ria, mereka jarang mendapat peluang untuk berpoya-poya. Banyak masa dihabiskan berlayar di lautan luas. Din dan kapten tidak ke mana. Ketika Din sedang tidur, Din merasakan ada bahang yang sangat panas, dia didukung keluar oleh seseorang. Setelah keluar dari kapal tersebut, Din nampak kapten sayu melihat kapalnya hancur dijilat api. Kerana terlalu kecewa, Kapten Guz membuat keputusan untuk pulang sahaja ke kampungnya dan berniaga kecil-kecilan. Din tidak akan dibawa bersama, dia tahu, dia pasti tidak akan dapat membantu Din untuk pulang ke Malaya dalam situasi itu. Lalu, Din diserahkan kepada Sir Longthorn, seorang businessman yang sangat disegani di York, utara England. Kapten Guz mengingatkan Din untuk bekerja sebaik mungkin dan mengumpul duit untuk pulang ke Malaya.
Di estet Sir Longthorn, Din dikenali sebagai Dean. Walaupun pelik, lama kelamaan Dean senang dengan nama barunya. Dean tahu bahawa anak perempuan majikannya menyimpan hati kepadanya. Namun, Dean sedar akan dirinya, kulitnya yang sawo kekuningan itu seringkali mengingatkan kedudukannya di negeri orang itu. Setelah sekian lama, Dean kini menjadi orang kanan Sir Longthorn. Semakin tebal harapannya untuk mendekati Isabel Longthorn, gadis yang kini sudah meningkat dewasa.
Perhubungan mereka dihalang oleh ibu Isabel yang lebih mementingkan harta bakal menantunya. Namun begitu, sebagai ketua keluarga, Sir Longthorn merestui perkahwinan Isabel dan Dean, dan keputusan itu perlu diterima oleh isterinya. Perkahwinan mereka sangat bahagia. Dean yang sememangnya penyayang dan Isabel yang manja, mereka seperti melengkapi hidup masing-masing.
Dean baru saja pulang dari Yorkshire, Dean dihantar untuk menguruskan hal-hal berkaitan hartanah Sir Longthorn. Kepulangannya disambut berita disampaikan oleh butler. Dean diberitahu, Isabel dibawa oleh ibunya ke Cardiff. Ms. Longthorn akan dimasukkan di hospital di sana kerana penyakit yang sudah lama dideritainya. Isabel dibawa bersama dengan alasan untuk menjaganya. Begitulah yang dikhabarkan kepada Dean, dia sedih kerana terlalu rindu akan isterinya, namun, dia pasrah dengan kejadian alam. Malam itu, Dean dipanggil berjumpa dengan bapa mertuanya. Walaupun mereka sudah lama kenal, namun menjadi adat Inggeris ketika itu, Dean masih perlu menghormati bapa mertuanya seperti majikannya.
Dean kaget setelah diberitahu muslihat sebenar ibu Isabel. Sebenarnya, Isabel dibawa lari ke Cardiff. Ini untuk memisahkan Dean dan Isabel, dan mengahwinkan Isabel dengan sepupunya di sana. Dean akan diberitahu bahawa Isabel telah hilang, dan Isabel akan difahamkan yang Dean sudah pulang ke Malaya.

No comments:
Post a Comment