Arjuna Hati (Part 2)
Atas bantuan Mr. Longthorn, Dean dapat melarikan isterinya dari hospital di mana ibunya ditempatkan. Ketika di dalam kereta kuda yang disediakan oleh Mr. Longthorn, Isabel menangis teresak-esak di bahu suaminya. Mereka berdua meneruskan perjalanan ke Notthingham dan memulakan hidup baru di sana. Selepas Isabel selamat melahirkan anak sulung mereka, Allen, bayi tersebut dibawa pulang ke York, untuk berjumpa dengan datuk dan neneknya. Setelah mendapat restu dari nenek Allen, Dean sekeluarga berpindah semula ke York. Tambahan pula, Mrs. Longthorn sudah semakin tenat, sekurang-kurangnya dapatlah Isabel menjaganya di rumah. Selepas kelahiran anak mereka yang kedua, Annie, rezeki mereka sekeluarga semakin mencurah-curah. Selain itu, ekonomi Britain juga sudah semakin pulih. Dean semakin sibuk dan semakin jarang mempunyai masa untuk diluangkan bersama anak dan isterinya. Dia sering ke luar bandar untuk menguruskan hal-hal perniagaan. Tidak lama selepas itu, Mrs. Longthorn menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Ketika paderi membacakan ayatnya dari Bible, Dean tiba-tiba terkenangkan tanah yang kuning dan batu nisan yang tercacak berwarna putih, bukan seperti yang berada di hadapannya ketika itu. Dean merasa dia sudah semakin jauh dengan ajaran yang dia terima ketika kecil dahulu. Lamunan Dean dikejutkan dengan esakan Isabel di sebelahnya. Mereka meneruskan kehidupan seperti biasa, cuma Isabel tidak seriang dahulu dan Mr. Longthorn sudah sampai ke tahap hanya mementingkan wang tanpa memikirkan risiko yang perlu diambilnya.
Setelah kelahiran Andie ke dunia, Isabel menjadi semakin jauh hati dengan Dean. Dean tahu, Andie tidak sempurna seperti kanak-kanak lain, namun, sudah tertulis itulah darah dagingnya, membuatkan Dean terlalu sayang untuk berenggang dari anak bongsunya. Isabel menyerahkan tugas menjaga Andie sepenuhnya kepada pengasuh. Isabel juga sudah tidak tidur sebilik dengan Dean. Keadaan menjadi semakin kelam-kabut setelah Mr. Longthorn disahkan mati dalam satu kejadian letupan di lombong yang diusahakannya. Isabel menjadi semakin sukar dihampiri. Apatah lagi Andie, tidak pernah mendapat kasih sayang dari ibunya.
Hari itu, kepulangan Dean tidak disambut oleh pelukan dari anak-anaknya. Sudahlah Allen kini di sekolah berasrama di Cardiff, Andie pula sering mengalami kesukaran untuk bernafas akibat saluran pernafasannya yang tidak berkembang sepenuhnya. Dean tergamam setelah diberitahu bahawa Isabel membawa Andie ke London untuk mendapatkan rawatan, Annie dibawanya bersama. Dean yang tahu bahawa isterinya tidak pernah mengikut setiap kali Andie dibawa ke hospital, terus bergerak ke London bersama beberapa orang pembantu. Dean tahu, isterinya pasti marah setelah mendapat tahu bahawa, estet Mr. Longthorn kini sudah digadai akibat penipuan sebuah syarikat. Dean menyesali dirinya sendiri kerana menggadai rumah milik keluarga isterinya tanpa berfikir panjang.
Setibanya dia di hospital tersebut, Dean menghabiskan sepanjang hari menemani Andie, Isabel jarang kelihatan di situ. Khabarnya sedang berehat di rumah ibu saudaranya di Cardiff. Mengenangkan peristiwa Isabel yang hampir dikahwinkan dengan sepupunya itu, Dean jadi tak senang duduk. Namun, dalam situasi tersebut, Andie lebih penting dalam hidupnya. Tidak lama Dean di situ, Andie sudah tidak berupaya melawan ajalnya.
Dean meneruskan perjalanan mencari Isabel dan Annie, dikhabarkan mereka merancang untuk berhijrah ke US. Tanpa berlengah, Dean segera mendapatkan isterinya di pelabuhan yang dikatakan. Namun ketibaannya hanya ditemani berita buruk yang memberitahu, sebuah kapal ke US telah karam, dan Annie dan Isabel tersenarai sebagai mangsa yang terkorban. Dean kecewa, dia kini sudah sebatang kara. Dean menunaikan hasratnya untuk pulang ke tanahair.
Setelah pulang ke tanahair, Dean sudah tidak tahu berbahasa melayu. Cuma ibunya saja yang masih mengenalinya, budak-budak muda di kampungnya juga tidak mengenalinya. Berkat pengalaman yang diperolehnya, Dean membuka kedai runcit di kampungnya. Ramai anak-anak gadis dan ibu bapa mereka tertarik dengan kesungguhan dan kejayaan Dean. Dean diajar oleh sepupunya bahasa melayu. Atas permintaan ibunya yang perlu jagaan dari seorang menantu, Dean berkahwin dengan Salmah. Mereka dicurahkan rezeki berlipat ganda. Salmah tidak perlu lagi menjaga anak-anak atau rumah mereka. Di atas tanah milik arwah ibunya, Dean membina sebuah rumah besar untuk keluarganya. Lama-kelamaan Salmah menjadi semakin bebas, bila anak-anaknya sudah besar dan berumah tangga, Salmah melarikan diri. Kedai-kedai Din dirompak dan dibakar oleh orang yang iri hati dengan kejayaannya. Dean menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan menulis journal tentang kehidupannya.

No comments:
Post a Comment